Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID
SHAH ALAM – Demokrasi berdiri atas prinsip bahawa kuasa datang daripada rakyat dan wajib digunakan untuk kepentingan rakyat. Wakil rakyat dipilih bukan untuk menguasai rakyat, sebaliknya memikul amanah yang diberikan kepada mereka.
Dalam Islam pula, kepimpinan adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.
Namun, realiti politik hari ini semakin membimbangkan. Rakyat sering diangkat sebagai slogan ketika pilihan raya, tetapi selepas kemenangan dicapai, kepentingan mereka semakin dipinggirkan.
Lebih malang, isu bangsa dan agama terus dijadikan modal politik bagi meraih sokongan. Sentimen itu dimainkan sehingga masyarakat percaya setiap tindakan politik dibuat atas nama mempertahankan agama dan bangsa, sedangkan dalam banyak keadaan matlamat sebenar hanyalah untuk mengekalkan kuasa.
Politik sepatutnya menjadi medan mengurus negara, membina masyarakat dan menegakkan keadilan. Namun apabila kuasa menjadi matlamat utama, nilai moral dalam politik mula terhakis.
Pemimpin yang memahami amanah melihat jawatan sebagai tanggungjawab, manakala mereka yang dikuasai kepentingan peribadi menganggap jawatan sebagai hak yang perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun.
Akibatnya, media dimanipulasi, persepsi dibentuk dan lawan politik dilabel sebagai musuh agama atau bangsa. Rakyat pula dipecahkan kepada kelompok yang saling bermusuhan sehingga ruang dialog semakin sempit.
Isu bangsa antara yang paling mudah dieksploitasi kerana berkait rapat dengan sejarah, identiti, bahasa dan budaya.
Ketika ekonomi tidak berkembang, kos sara hidup meningkat dan peluang pekerjaan semakin mengecil, sebahagian ahli politik memilih jalan mudah dengan meniupkan sentimen perkauman.
Rakyat diyakinkan bahawa semua masalah berpunca daripada kaum lain, sedangkan hakikatnya musuh sebenar ialah rasuah, salah guna kuasa, ketirisan, pembaziran dan kelemahan pentadbiran yang tidak mengenal kaum.
Politik yang matang seharusnya menyatukan rakyat menghadapi cabaran bersama, bukannya mencipta musuh baharu demi kepentingan politik.
Lebih membimbangkan apabila agama turut dijadikan perisai politik.
Ayat al-Quran dipetik mengikut kepentingan tertentu, hadis digunakan tanpa memahami konteks, manakala ceramah agama dijadikan pentas menyerang lawan politik.
Keadaan itu mengelirukan masyarakat apabila kritikan terhadap dasar kerajaan dianggap menghina agama, manakala kritikan terhadap individu tertentu pula dilihat sebagai serangan terhadap Islam.
Sedangkan Islam jauh lebih besar daripada mana-mana parti politik dan tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana kelompok.
Apabila agama dijadikan alat politik, generasi muda akhirnya melihat agama sebagai instrumen perebutan kuasa, bukannya sumber rahmat, petunjuk dan keadilan.
Dalam setiap pertarungan politik, rakyat tetap menjadi pihak yang paling terkesan.
Mereka terus berdepan kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang semakin sempit, pendapatan yang tidak meningkat, perkhidmatan awam yang lemah serta jurang ekonomi yang semakin melebar.
Pada masa sama, sebahagian pemimpin terus sibuk mengira kerusi, membentuk pakatan baharu dan mempertahankan kedudukan masing-masing.
Rakyat hanya diperlukan ketika musim pilihan raya, tetapi selepas itu suara mereka semakin tenggelam di sebalik perebutan kuasa yang berpanjangan.
Punca utama kepada kemerosotan politik ialah krisis integriti.
Apabila amanah diketepikan, seluruh jentera digunakan untuk mempertahankan kedudukan. Rasuah politik berkembang, politik wang menjadi budaya, jawatan diagihkan berdasarkan kesetiaan, manakala institusi awam semakin kehilangan kebebasan.
Keadaan itu akhirnya menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem dan mewujudkan tanggapan bahawa politik sememangnya kotor.
Hakikatnya, bukan politik yang kotor, tetapi manusia yang mengotorkannya.
Islam meletakkan syarat yang sangat tinggi terhadap seseorang pemimpin.
Al-Quran memerintahkan amanah diserahkan kepada yang berhak dan keadilan ditegakkan. Rasulullah SAW pula menolak individu yang mengejar jawatan semata-mata kerana kedudukan.
Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mengingatkan bahawa beliau lebih takut kepada hisab Allah daripada kehilangan kuasa.
Inilah contoh kepimpinan yang memahami bahawa kuasa hanyalah pinjaman sementara dan merupakan satu ujian, bukannya kemuliaan.
Malaysia memerlukan budaya politik yang lebih matang dan berteraskan nilai.
Politik baharu perlu menolak budaya kebencian, mengutamakan dasar berbanding propaganda, mengangkat integriti mengatasi populariti serta membina perpaduan tanpa mengorbankan prinsip.
Bangsa mesti diperkasakan melalui pendidikan, ekonomi, inovasi dan pembangunan modal insan, manakala agama perlu menjadi sumber akhlak, keadilan, kasih sayang serta tadbir urus yang baik.
Perubahan juga tidak akan berlaku tanpa rakyat yang bijaksana.
Pengundi perlu menilai rekod, integriti, keupayaan dan hasil kerja seseorang pemimpin, bukannya sekadar percaya kepada retorik atau slogan.
Media sosial pula wajar dimanfaatkan untuk menyebarkan fakta, bukan fitnah, manakala masyarakat sivil, institusi pendidikan, masjid, NGO dan golongan profesional perlu memainkan peranan sebagai kuasa semak dan imbang.
Demokrasi hanya akan matang apabila rakyat berani menuntut akauntabiliti daripada semua pihak tanpa mengira parti.
Bangsa dan agama ialah amanah yang terlalu mulia untuk diperdagangkan demi kepentingan politik jangka pendek.
Pemimpin boleh bertukar, parti boleh berubah dan kerajaan boleh berganti, namun maruah agama, perpaduan bangsa serta kesejahteraan rakyat mesti kekal menjadi keutamaan.
Sejarah membuktikan tamadun tidak runtuh semata-mata kerana kekurangan sumber atau kelemahan ketenteraan, sebaliknya apabila pemimpin mengkhianati amanah, memperalatkan agama, memecahbelahkan rakyat dan menjadikan kuasa sebagai matlamat hidup.
Sudah tiba masanya politik dikembalikan kepada tujuan asalnya, iaitu berkhidmat kepada rakyat, menegakkan keadilan, memelihara maruah bangsa, mengangkat nilai agama dan membina sebuah negara yang bermaruah.
Rakyat tidak lagi mahu sekadar disebut dalam ucapan. Mereka mahu dihormati melalui dasar yang benar-benar membela kehidupan.
Kekuatan sesebuah negara akhirnya bukan diukur pada berapa lama seseorang memegang kuasa, tetapi sejauh mana kuasa itu digunakan untuk menegakkan keadilan, memakmurkan rakyat dan meninggalkan legasi yang dihormati oleh generasi akan datang. – DETIK MALAYSIA
