JAKARTA – Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) menegaskan sokongan penuh terhadap Presiden FIFA, Gianni Infantino, sambil memuji kepimpinannya dalam memacu pembangunan bola sepak di seluruh dunia.
Dalam satu kenyataan rasmi, PSSI menyatakan keyakinan terhadap visi Infantino untuk memperkukuh persatuan ahli FIFA di peringkat global ketika tadbir urus bola sepak dunia terus menjadi perhatian.
Menurut PSSI, Indonesia sendiri telah menyaksikan impak positif pelbagai program FIFA yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Infantino.
PSSI memaklumkan sokongan FIFA telah membantu mempercepat pembangunan bola sepak negara itu, termasuk penambahbaikan aspek infrastruktur, tadbir urus, program akar umbi serta ekosistem bola sepak secara keseluruhan.
Menurut badan induk bola sepak Indonesia itu, kepercayaan yang terjalin menerusi kerjasama tersebut menjadi asas kepada sokongan berterusan terhadap Infantino serta FIFA yang mengutamakan layanan sama rata kepada semua persatuan ahlinya.
Pada masa sama, PSSI turut menegaskan komitmennya untuk terus menjalin hubungan kerja yang konstruktif dengan FIFA dan semua persatuan bola sepak di seluruh dunia demi memajukan pembangunan sukan itu di peringkat global. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – PSSI
