BANGKOK – Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader merakamkan ucapan tahniah kepada skuad sepak takraw Iraq selepas muncul juara acara Quadrant lelaki pada Kejohanan Sepaktakraw Dunia ISTAF Piala Raja Thai Ke-39 2026 di Bangkok, Thailand semalam.
Dalam satu sesi khas bersama pasukan Iraq, Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) memuji aksi cemerlang dipamerkan para pemain dan barisan kejurulatihan sepanjang kejohanan itu.
Beliau menyifatkan kejayaan tersebut hasil disiplin tinggi, semangat berpasukan serta daya juang yang ditunjukkan oleh skuad Iraq sehingga berjaya menjuarai acara berkenaan.
Pada masa sama, Abdul Halim turut mengingatkan pasukan itu supaya terus kekal fokus, merendah diri dan berusaha memberikan aksi terbaik dalam baki acara yang masih dipertandingkan.
Sesi khas tersebut mencerminkan komitmen ISTAF untuk terus mendekati semua pasukan bertanding selain memperkukuhkan semangat persahabatan, hormat-menghormati dan perpaduan dalam kalangan negara anggota. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto Asian Sepaktakraw Federation – ASTAF
