KUALA LUMPUR – Petinju Muay Thai Malaysia, Riffdean Masdor bakal berdepan juara dunia Muay Thai ONE Atomweight, Nadaka Yoshinari dalam pertarungan pada ONE Samurai 4 di Ariake Arena, Tokyo, Jepun, 17 Oktober depan.
Pertarungan itu menjadi peluang terbesar dalam karier Riffdean selain misi memburu gelaran juara dunia ONE kedua buat Malaysia selepas Alif Sor Dechapan.
Riffdean hadir dengan prestasi cukup meyakinkan apabila memenangi tujuh daripada lapan pertarungan terakhirnya di bawah ONE Championship selain kini mengharungi rentetan lima kemenangan berturut-turut.
Lebih menarik, empat daripada kemenangan berkenaan turut menyaksikan Riffdean menerima bonus prestasi.
Dalam aksi terbaharunya di The Inner Circle 19 pada Jun lalu, Riffdean menumbangkan Javad Mozafari menerusi kemenangan kalah mati pada pusingan pertama sekali gus memperoleh kontrak ONE Championship bernilai lebih RM3.2 juta.
Sejurus memperoleh kontrak tersebut, Riffdean secara terbuka mencabar Nadaka dan menyatakan hasrat untuk menamatkan rekod tanpa kalah jaguh Jepun itu.
Nadaka pula hadir dengan rekod 41 kemenangan berturut-turut dalam pertarungan profesional.
Dia menjadi juara dunia ONE Atomweight Muay Thai sulung selepas menewaskan Numsurin Chor Ketwina pada ONE 173, November tahun lalu.
Juara Jepun itu kemudian mempertahankan tali pinggang buat kali pertama pada ONE Samurai 1, April lalu selepas menewaskan Songchainoi Kiatsongrit menerusi keputusan sebulat suara.
Sekiranya Nadaka sekali lagi meraih kemenangan, dia bakal melanjutkan rekod tanpa kalahnya kepada 42 pertarungan selain melengkapkan pertahanan gelaran dunia kedua. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE
