KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish (AEON Credit – MT Helmets – MSi) menamatkan hari pertama Grand Prix (GP) British 2026 di Litar Silverstone dengan menduduki tempat ke-16 dalam sesi Practice, semalam.
Pelumba muda Malaysia itu menggunakan sesi pada Jumaat untuk meningkatkan keyakinan selain mengumpul maklumat penting mengenai litar mencabar di Northamptonshire tersebut sebelum memperbaiki catatan masa pada sesi sebelah petang.
Hakim memulakan kempen di Silverstone menerusi sesi Latihan Bebas 1 (FP1) pada sebelah pagi dengan memberi tumpuan kepada usaha memahami litar serta mencari garisan tunggangan yang tepat.
Dia merekodkan masa terpantas 2 minit 11.495 saat untuk berada di kedudukan pertama dengan catatan 0.902 saat daripada penanda aras sesi.
Hakim kemudian kembali lebih bertenaga pada sebelah petang apabila memperbaiki masa lebih satu saat kepada 2:10.359s.
Catatan itu menyaksikan pelumba negara berkenaan berada di tempat ke-16 keseluruhan, hanya 0.791 saat di belakang pelumba terpantas sesi.
Peningkatan berkenaan memberi petanda positif buat Hakim yang terus menyesuaikan diri dengan tuntutan kelajuan tinggi di Silverstone.
Pelumba Argentina, Valentin Perrone daripada pasukan Red Bull KTM Tech3 muncul terpantas dalam sesi Practice Moto3 dengan catatan 2:09.568s.
Dengan jurang masa yang begitu rapat, setiap persepuluh saat dijangka menjadi penentu apabila pelumba kembali ke litar bagi sesi kelayakan.
Walaupun menamatkan Practice di tempat ke-16, Hakim masih mempunyai peluang untuk merapatkan jurang dengan kelompok hadapan dan akan memberi tumpuan untuk mendapatkan prestasi lebih baik daripada jenteranya.
Hakim akan beraksi dalam kumpulan Q1 pada sesi kelayakan Moto3, Sabtu.
Sasaran terdekatnya adalah memperbaiki catatan masa bagi membolehkannya menembusi Q2, sekali gus bersaing dengan pelumba terpantas bagi merebut kedudukan permulaan terbaik di grid.
Aksi hari kedua akan bermula dengan FP2 pada sebelah pagi sebelum sesi Q1 dan Q2 berlangsung pada sebelah petang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
