ISKANDAR PUTERI – Kuching City FC tidak gentar berdepan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) 2026/27 meskipun Harimau Selatan hadir dengan rekod 109 perlawanan liga tanpa kalah.
Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata, pasukannya hanya mahu memberi fokus kepada kemampuan sendiri dan tidak terpengaruh dengan rekod luar biasa dimiliki JDT.
“Setiap perlawanan menentang JDT memang sukar. Ia bukan mudah kerana kami tahu kekuatan mereka.
“Namun, kami hanya fokus kepada pasukan sendiri, apa yang boleh dilakukan dan apa yang mahu dicapai. Esok, kami harap dapat cuba bermain untuk menang,” katanya.
Bagaimanapun, Kuching City berdepan cabaran apabila beberapa tonggak utama seperti James Okwuosa, Ronald Wanga, Jerome Otome, Bonai dan Jimmy tidak dapat diturunkan.
Situasi itu turut memberi cabaran kepada Aidil yang perlu menggabungkan sembilan pemain baharu dalam tempoh singkat selepas perubahan besar dalam skuad pada musim ini.
“Untuk tempoh sebulan, ia tidak mencukupi. Mereka masih cuba melakukan yang terbaik dan sudah pasti mereka perlahan-lahan menyesuaikan diri.
“Dari hari ke hari, kami semakin baik. Harap selepas sekurang-kurangnya tiga perlawanan, kami akan lebih kuat berbanding aksi pertama,” katanya.
Aidil berkata, tahap kecergasan pemain menjadi antara faktor utama dalam menentukan kesebelasan utama bagi pertemuan berkenaan.
“Perkara paling penting untuk perlawanan esok ialah siapa yang bersedia dan siapa yang cergas.
“Dengan kecederaan itu, saya tidak fikir mereka akan cergas sepenuhnya dalam tempoh satu atau dua hari untuk aksi menentang JDT. Jadi, sudah pasti mereka tidak dapat bermain,” katanya merujuk kepada Bonai dan Jimmy yang mengalami kecederaan ketika bersama pasukan kebangsaan.
Mengenai rekod JDT, Aidil menegaskan anak buahnya tidak boleh terlalu memikirkan statistik berkenaan.
“Kami tidak memikirkan rekod mereka kerana hanya fokus kepada pasukan sendiri,” katanya.
Beliau mengakui JDT memiliki kelebihan dari segi kualiti pemain, selain beraksi di laman sendiri dengan sokongan penyokong.
“Mereka sentiasa mempunyai kelebihan dari segi pemain berkualiti dan semuanya. Anda bercakap mengenai stadium, penyokong dan mereka bermain perlawanan pertama dengan penyokong sendiri.
“Jadi, itu satu kelebihan buat mereka. Kami perlu bekerja keras dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Okwuosa berkata, Kuching City tidak mahu memikirkan apa yang dilakukan pasukan lawan sebaliknya memberi tumpuan kepada pembentukan keserasian dalam skuad.
“Apa yang dilakukan pasukan lain bukan urusan kami. Perkara paling penting ialah kami fokus kepada diri sendiri.
“Kami di sini untuk mencipta kejutan dan mencipta sejarah,” katanya.
Menurutnya, perlawanan berkenaan turut menjadi peluang untuk dirinya membuktikan kemampuan di pentas besar.
“Saya juga mahu mencipta nama kerana inilah jenis perlawanan yang boleh mengekalkan anda pada tahap tertentu dan membuktikan anda mampu bersaing pada peringkat seterusnya dalam saingan AFC serta perlawanan lain,” katanya.
Kuching City akan membuat penampilan sulung dalam Piala Sumbangsih, selain berdepan JDT yang menewaskan mereka pada final musim lalu.
Okwuosa berkata, pengalaman berkenaan menjadi pembakar semangat buat pasukan untuk mencipta kejutan kali ini.
“Perlawanan terakhir kami tewas kepada mereka di final, kami hampir mencipta kejutan. Malangnya, itulah bola sepak.
“Perkara paling penting ialah keinginan pemain dan sejauh mana mereka mahu menang,” katanya.
Aidil pula berharap perlawanan berkenaan dapat memberikan aksi berkualiti kepada peminat bola sepak tempatan.
“Apa yang setiap peminat dan rakyat Malaysia mahu lihat ialah perlawanan yang baik.
“Dari segi prestasi, kami mahu memberikan yang terbaik. Kami mahu sentiasa memberikan 100 peratus dan jujur kepada kelab untuk mencapai sesuatu,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL
