KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, memandang serius tindakan seorang menteri DAP yang didakwa menghina dan mengugut wartawan Utusan Malaysia ketika satu acara rasmi selepas ditanya mengenai penggunaan Bahasa Inggeris bagi tema pelancongan.
Neow yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah menunjukkan sikap tidak beradab serta bercanggah dengan prinsip Kerajaan Madani yang menekankan keterbukaan dan kebertanggungjawaban.
“Sebagai pemimpin, beliau sepatutnya menghormati peranan media sebagai rakan semak dan imbang dalam memastikan pentadbiran yang telus dan berintegriti. Wartawan hanya menjalankan tugas profesional untuk mendapatkan penjelasan terhadap isu berkepentingan awam, bukan menyerang mana-mana pihak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Neow turut mengingatkan bahawa sebelum berkuasa, pemimpin DAP sering melaungkan slogan kebebasan media dan kebebasan bersuara.
“Dahulu, sebelum mendapat kuasa, kamu yang berguling di jalan raya mendesak kebebasan media. Sekarang apabila sudah berkuasa, kamu pula mengamalkan dasar intimidasi terhadap suara yang tidak sealiran,” katanya.
Tambahnya, seorang pemimpin berjiwa besar seharusnya tenang dan bijaksana apabila berdepan pertanyaan media, bukan melepaskan amarah dengan ugutan.
“Pemimpin yang berani tidak gentar pada soalan, kerana kebenaran tidak memerlukan ugutan untuk dipertahankan,” katanya.
Hantaran itu dipercayai merujuk kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, ketika majlis prapelancaran projek pencahayaan I Lite U sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pada acara itu, seorang wartawan Utusan Malaysia bertanya tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam tema projek berkenaan, namun Kor Ming dilapor membalas dengan nada tegas serta memberi amaran bahawa beliau akan menghubungi ketua pengarang wartawan berkenaan.
Neow menggesa agar pemimpin kerajaan tidak menggunakan kuasa untuk menekan atau mengugut media, sebaliknya menghormati kebebasan wartawan menjalankan tugas demi kepentingan rakyat. - DETIK MALAYSIA
