JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi peluang kepada pemain muda dan skuad simpanan untuk menimba pengalaman beraksi bersama pasukan utama menerusi saingan Malaysia Cup dan Shopee Cup.
Pendekatan itu merupakan sebahagian daripada dasar baharu kelab bagi memastikan pemain muda mendapat pendedahan sebenar serta peluang bermakna untuk membuktikan kemampuan di pentas senior.
Dasar berkenaan turut mengambil kira kejayaan Akademi JDT khususnya skuad Bawah 21 Tahun (B-21) yang baru-baru ini meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) selain muncul juara Piala Presiden untuk empat musim berturut-turut.
Menurut JDT, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara pihak pengurusan, barisan kejurulatihan pasukan utama dan jurulatih akademi.
Dalam saingan Liga Super Malaysia, AFC Champions League Elite dan Piala FA, JDT akan menurunkan skuad terkuat, manakala pemain muda dan simpanan diberi ruang beraksi dalam Malaysia Cup serta Shopee Cup.
Langkah itu juga bagi membantu JDT mengurus jadual padat membabitkan lima pertandingan senior, selain memastikan tahap kecergasan pemain berada pada keadaan terbaik sepanjang musim.
Beberapa pemain daripada skuad B-21 dan pasukan simpanan sudah mula menjalani latihan bersama skuad utama untuk diberi peluang menerusi dasar berkenaan.
Penyerang B-21, Muhammad Daniesh Amirruddin, menjadi antara contoh apabila meledak dua gol pada penampilan sulung bersama skuad senior ketika menentang UM-Damansara United dalam aksi Piala FA baru-baru ini.
JDT menyifatkan pendekatan itu sebagai langkah penting dalam membantu pemain muda menyesuaikan diri dengan intensiti bola sepak senior sebelum dipersiapkan untuk menjadi sebahagian daripada skuad utama kelab pada masa depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
