HIROSHIMA – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengharumkan nama bola sepak Malaysia apabila melakar sejarah mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) 2025/26 selepas menewaskan Sanfrecce Hiroshima dengan agregat 3-2.
Walaupun tewas 0-1 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Zon Timur di Stadium Bola Sepak Hiroshima, Jepun, keputusan tersebut sudah memadai buat juara Liga Super itu untuk mengesahkan kemaraan ke kelompok lapan terbaik Asia.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz menurunkan kesebelasan yang berdisiplin dengan Andoni Zubiaurre mengawal gawang, manakala Eddy Israfilov memainkan peranan penting mengetuai benteng pertahanan. Di bahagian serangan pula, Jairo da Silva dan Nacho Méndez diberikan tanggungjawab menggerakkan jentera serangan Harimau Selatan.
Sanfrecce Hiroshima yang beraksi di hadapan penyokong sendiri memulakan perlawanan dengan tempo agresif, namun JDT kekal tenang serta berdisiplin dalam bertahan sehingga berjaya mengekang asakan tuan rumah sepanjang babak pertama yang berakhir tanpa jaringan.
Kebuntuan hanya terlerai pada masa kecederaan apabila penyerang Hiroshima, Kosuke Kinoshita menyempurnakan sepakan penalti untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada tuan rumah, namun jaringan itu tidak cukup untuk menafikan kemaraan JDT yang menang dengan agregat 3-2.
Keputusan itu menyaksikan JDT melangkah ke suku akhir ACL Elite 2025/26 yang menampilkan format baharu membabitkan lapan pasukan terbaik dari Zon Timur dan Zon Barat.
Semua aksi bermula dari suku akhir hingga final akan berlangsung secara satu perlawanan di venue berkecuali di Jeddah, Arab Saudi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST