PULAU PINANG – Penang FC mengesahkan kemaraan ke pentas final Piala Cabaran Malaysia 2025/26 buat kali pertama sejak kejohanan itu diperkenalkan lapan tahun lalu selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) 1-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Beraksi di laman sendiri, skuad Harimau Kumbang berdepan tentangan sengit daripada TRW yang tampil agresif sebaik wisel permulaan bagi mencari gol awal untuk merapatkan defisit agregat.
Namun, usaha pelawat sering dipatahkan barisan pertahanan Penang yang tersusun diketuai kapten Stefano Brundo bersama pertahanan tengah dari Nigeria, Faith Obilor.
Penang hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-35 selepas penyerang Dylan Wenzel-Halls dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan TRW, Mohamad Faris Shah Rosli.
Bagaimanapun, sepakan penalti Wenzel-Halls berjaya ditepis penjaga gol TRW, Damyan Damyanov sekali gus memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, tuan rumah sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan TRW, Alexandre Yeoule dalam kawasan penalti.
Kali ini Brundo tidak mensia-siakan peluang apabila meledak gol pada minit ke-56 untuk memberikan kelebihan kepada Penang sekali gus mengesahkan kemaraan mereka ke final.
Keputusan 1-0 itu menyaksikan Penang melangkah ke final dengan kemenangan agregat 6-2.
Dalam aksi final nanti, Penang akan bertemu Sabah FC yang terlebih dahulu mengesahkan tiket selepas menyingkirkan Perak FC dengan agregat 1-0 pada satu lagi aksi separuh akhir. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL