SELAYANG – Hasrat Kuala Lumpur City FC untuk terus menekan persaingan kelompok atasan Liga Super Malaysia terbantut apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang PDRM FC di Stadium MPS, Selayang, malam tadi.
Turun sebagai pasukan pilihan, KL City bermula garang apabila Kpah Sherman menguji penjaga gol lawan seawal minit keenam, namun percubaannya berjaya ditepis kemas oleh Nor Hakeem Hamidun yang tampil cemerlang sepanjang perlawanan.
Namun, PDRM yang menghuni tangga tercorot liga mengejutkan tuan rumah pada minit ke-12. Hantaran tepat Park Tae-su disempurnakan dengan rembatan padu oleh Elisha Oluwasegun Kashim yang menewaskan penjaga gol KL City, Quincy Kammeraad, sekali gus menghadiahkan gol pembukaan kepada pasukan pelawat.
Kapten KL City, Paulo Josue hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan bebas pada minit ke-25, namun bola sekadar melepasi palang. Empat minit kemudian, percubaan jarak jauhnya sekali lagi dinafikan oleh Nor Hakeem yang terus menjadi tembok kebal PDRM.
Bersambung babak kedua, tekanan bertali arus dilancarkan skuad kendalian Bojan Hodak. Zhafri Yahya hampir mencuri gol menerusi dua peluang awal, namun aksi tangkas Nor Hakeem memastikan gawang PDRM kekal selamat.
Usaha tanpa henti KL City akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-62 apabila Declan Lambert melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk mengikat kedudukan 1-1.
Ketika momentum jelas memihak kepada The City Boys, peluang kemenangan hadir pada masa kecederaan apabila Safawi Rasid melepaskan sepakan lencong menarik, namun bola hanya menggegar palang sebelum melantun keluar.
Keputusan seri itu menyaksikan KL City terlepas peluang keemasan untuk memintas Selangor FC di tangga kedua liga, sekali gus kekal satu mata di belakang Red Giants, jurang yang berpotensi melebar sekiranya Selangor menewaskan Terengganu FC hujung minggu ini.
Bagi PDRM pula, satu mata tersebut cukup bermakna apabila menamatkan kemarau 10 kekalahan berturut-turut, sekali gus menjadi tonik moral penting buat skuad The Cops yang kini mengumpul tujuh mata daripada 16 perlawanan dalam saingan Liga Super Malaysia musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – KL City FC
