PETALING JAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru masyarakat global agar mengembalikan nilai kemanusiaan, keadilan dan maruah insan ketika dunia melangkah ke tahun 2026 yang disifatkan sarat dengan paradoks dan cabaran moral.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, dunia hari ini sebenarnya tidak kekurangan sumber, teknologi atau pengetahuan, namun gagal menzahirkan keberanian moral apabila penderitaan, penindasan dan ketidakadilan semakin dinormalisasikan serta dilindungi oleh kepentingan kuasa dan politik.
Menurut beliau, Mapim diasaskan atas keyakinan bahawa setiap nyawa manusia adalah suci, keadilan tidak boleh dikompromi dan maruah bukan satu keistimewaan, sebaliknya hak yang wajib dipertahankan tanpa mengira latar belakang.
“Nilai-nilai ini bukan sekadar prinsip kerja kemanusiaan, tetapi asas bagaimana masyarakat dibina, ekonomi diurus dan hubungan antarabangsa dipandu. Namun memasuki 2026, asas-asas ini sedang diuji dengan amat berat,” katanya dalam perutusan sempena tahun baharu 2026.
Mohd. Azmi menegaskan, ancaman terhadap kemanusiaan hari ini bukan hanya berpunca daripada peperangan dan kemiskinan, tetapi juga sikap tidak peduli yang semakin diterima sebagai kebiasaan, termasuk apabila orang awam dibunuh dan dipaksa berpindah sementara dunia sibuk berdebat soal istilah.
Beliau berkata, pelarian sering dilabel sebagai ancaman dan bukannya mangsa ketidakadilan, manakala penderitaan komuniti tertindas direduksi kepada angka dan statistik sehingga nurani manusia semakin tumpul.
“Apabila penderitaan dinormalisasikan, penindasan akan semakin berakar. Dalam keadaan ini, keadilan menjadi selektif, undang-undang antarabangsa dikuatkuasakan terhadap golongan lemah tetapi diketepikan apabila dilanggar oleh pihak berkuasa,” katanya.
Tambah beliau, penjajahan sering digambarkan sebagai langkah keselamatan, hukuman kolektif disandarkan atas alasan pencegahan, manakala eksploitasi ekonomi dibungkus sebagai pembangunan, sedangkan keadilan selektif tidak akan melahirkan keamanan sebenar.
Mohd. Azmi menegaskan, Mapim kekal berpegang bahawa keadilan merupakan tunjang kepada keamanan berkekalan kerana tanpa keadilan, gencatan senjata akan runtuh, perjanjian tidak akan bertahan dan keamanan hanya menjadi ilusi.
Menurutnya, maruah manusia juga sering dicabuli apabila bantuan disalurkan secara merendahkan, pembangunan meminggirkan komuniti, serta sistem ekonomi berkembang dengan mengorbankan nilai kehidupan.
“Ekonomi yang mencatat pertumbuhan tetapi memusnahkan kehidupan adalah ekonomi yang rosak secara asas,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan pendekatan Mapim sentiasa berteraskan solidariti dan bukannya sekadar kebajikan, dengan mengiktiraf komuniti sebagai subjek bermaruah yang mempunyai daya tahan, suara dan keupayaan untuk bangkit.
Bagi tahun 2026, Mapim komited memperkukuh usaha kemanusiaan yang beretika dan telus, memperhebat advokasi keadilan di peringkat serantau dan antarabangsa, serta menggerakkan masyarakat sivil khususnya golongan muda untuk menolak sikap tidak peduli dan mengembalikan kepimpinan moral.
Selain itu, Mapim akan terus memperjuangkan ekonomi berperikemanusiaan yang meletakkan kesejahteraan manusia mengatasi keuntungan semata-mata serta membina solidariti global merentasi agama, budaya dan sempadan negara.
“Seruan ini bukan hanya ditujukan kepada kerajaan dan institusi, tetapi kepada setiap individu yang masih memiliki hati nurani. Sejarah tidak menilai apa yang kita dakwa percaya, tetapi apa yang kita sanggup pertahankan ketika ketidakadilan berlaku di hadapan mata,” katanya.
Kata Mohd. Azmi, Mapim memilih untuk berdiri mempertahankan kemanusiaan mengatasi kebencian, keadilan mengatasi kesunyian dan maruah mengatasi keputusasaan, sambil berharap tahun 2026 menjadi titik kebangkitan keberanian moral dan pemulihan nilai kemanusiaan sejagat. - DETIK MALAYSIA
