PETALING JAYA – Selangor membuka tirai aksi minggu keempat Liga Super 2026-2027 dengan bergaya apabila membelasah seteru tempatan, Kuala Lumpur (KL) City 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Skuad kendalian The Red Giants tampil garang sejak awal permainan apabila beberapa kali mengancam gawang KL City yang dikawal Ameerul Eqhwan.
Tekanan Selangor akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-26 menerusi A. Selvan yang menyambar peluang selepas penjaga gol KL City gagal menangkap kemas percubaan Chrigor Moraes.
Jaringan tersebut membolehkan Selangor menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan 1-0.
Bersambung babak kedua, Selangor terus meningkatkan intensiti permainan dan tidak mengambil masa lama untuk menggandakan kelebihan.
Chrigor Moraes meledak gol kedua pada minit ke-48 menerusi penyudah cantik sekali gus menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah.
KL City cuba bangkit dan melakukan beberapa percubaan menerusi Baqiuddin Shamsudin, namun usaha tersebut gagal menemui sasaran.
Selangor kemudian terus mengasak dan hampir menambah jaringan menerusi gandingan Faisal Halim dan Chrigor pada minit ke-65, tetapi percubaan mereka tidak menghasilkan gol.
Bagaimanapun, Selangor tidak perlu menunggu lama apabila Eduardo Sosa melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-73.
Keputusan itu menyaksikan Selangor membawa pulang tiga mata penuh dalam aksi minggu keempat Liga Super musim 2026-2027. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC
