RIMINI, ITALI – Pelumba negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi kebangkitan luar biasa apabila bangkit dari petak ke-25 untuk menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) San Marino di tempat ke-12, sekali gus meraih empat mata kejuaraan.
Pada perlumbaan di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, hari ini, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu terpaksa bermula hampir di barisan paling belakang selepas dikenakan penalti turun tujuh petak.
Hakim Danish sebelum itu menduduki tempat ke-18 dan terakhir dalam kumpulan Kelayakan 2 (Q2) sebelum penalti pelumba nombor 10, 11, 13 dan 83 menyaksikan kedudukannya jatuh ke petak ke-25 daripada keseluruhan 26 pelumba.
Hanya Nicola Carraro bermula di belakangnya dan pelumba itu kemudian terbabit dalam kemalangan sebelum melengkapkan pusingan pertama.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak menghalang Hakim Danish daripada melakukan kebangkitan apabila dia melonjak ke tempat ke-22 sebaik pusingan pertama berakhir.
Pelumba muda itu terus memintas pesaingnya secara berperingkat apabila berada di tempat ke-19 pada pusingan ketiga sebelum meningkat ke kedudukan ke-18 pada pusingan keempat.
Memasuki pusingan ketujuh, Hakim Danish sudah berada dalam kelompok 16 pelumba terbaik sebelum naik ke tempat ke-14 pada pusingan ke-11.
Persaingan sengit kemudian menyaksikan Hakim Danish bertarung rapat dalam kelompok tempat ke-13 hingga ke-15 bersama beberapa pelumba termasuk rakan sepasukannya, Ryusei Yamanaka.
Pada pusingan terakhir, Hakim Danish menghasilkan catatan terpantasnya dalam perlumbaan itu dengan masa 1 minit 41.278 saat untuk memintas Yamanaka dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.
Dia melintasi garisan penamat dengan catatan keseluruhan 22.335 saat di belakang pemenang, Maximo Quiles.
Kejayaan itu membolehkan Hakim Danish mengutip empat mata kejuaraan selepas bermula dari petak ke-25, selain menamatkan perlumbaan di depan beberapa pelumba yang mencatat kedudukan kelayakan lebih baik.
Dalam perlumbaan tersebut, Quiles muncul juara selepas menewaskan David Almansa dengan kelebihan hanya 0.021 saat, manakala Brian Uriarte melengkapkan podium di tempat ketiga, 1.343 saat di belakang pemenang.
Hakim Danish turut menamatkan perlumbaan di depan Yamanaka dengan kelebihan 0.315 saat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto- ZK Racing
