KUALA LUMPUR – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Brad Tapp, layak mewakili skuad kebangsaan Malaysia.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengesahan itu diterima selepas FIFA selesai membuat semakan terhadap status kelayakan kedua-dua pemain berkenaan.
Menurut FAM, semakan tersebut dibuat berdasarkan peraturan dan peruntukan yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia itu.
“FAM menerima pengesahan tersebut selepas FIFA selesai membuat semakan terhadap status kelayakan kedua-dua pemain berkenaan berdasarkan peraturan dan peruntukan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, status dua lagi pemain JDT, Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih dalam proses semakan serta pengesahan FIFA.
FAM berkata pihaknya masih menunggu keputusan rasmi FIFA berhubung status kelayakan kedua-dua pemain tersebut.
“FAM akan terus memberikan kerjasama dan mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang diperlukan kepada FIFA berkaitan proses semakan berkenaan,” katanya.
FAM turut memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai status Hidalgo dan Lowry akan diumumkan selepas pihaknya menerima pengesahan rasmi daripada FIFA. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
