KUALA LUMPUR – Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat bagi anak-anak, bukan lokasi yang menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada ibu bapa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya memandang serius insiden tersebut dan akan terus memberi sokongan psikososial.
Katanya, ia termasuk khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa bagi membantu mereka menghadapi trauma.
“Seperti biasa, kita terus bertindak. Pegawai pelindung kita sudah pergi ke hospital semalam, dan hari ini kaunselor kita akan melawat keluarga mangsa.
“Namun, kita beri ruang kepada keluarga serta pihak polis yang sedang menjalankan siasatan. Jika keluarga perlukan bantuan lanjut, kita sentiasa bersedia membantu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Larian Kasih Fun Run KPWKM di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli Parlimen Santubong itu turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar di sekolah.
“Saya pun berasa bimbang kerana anak-anak dan cucu kita semuanya pergi ke sekolah. Jika sekolah sudah tidak lagi menjadi tempat yang selamat, apa akan jadi kepada masyarakat kita?” ujarnya.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, mengalami trauma selepas dipercayai menjadi mangsa rogol oleh dua pelajar senior di dalam kelasnya sendiri pada 2 Oktober lalu.
Kejadian terbongkar apabila ibu mangsa menerima maklumat daripada pihak sekolah mengenai penyebaran video tidak senonoh membabitkan anaknya sebelum membuat laporan polis. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FB NANCY SHUKRI