JDT II meraikan kejayaan merangkul gelaran Liga A1 musim ini.
KOTA BHARU – Johor Darul Ta’zim II (JDT II) sah dinobatkan sebagai juara Liga A1 Semi-Pro 2025/26 selepas bangkit mengikat Kelantan WTS 2-2 pada aksi Minggu Ke-29 di Kota Bharu malam tadi.
Keputusan seri itu sudah memadai buat skuad muda Harimau Selatan mengesahkan kejuaraan liga meskipun masih berbaki satu perlawanan sebelum tirai musim dilabuhkan.
Turun dengan misi sekurang-kurangnya mencuri satu mata, JDT II bagaimanapun diuji hebat apabila tuan rumah tampil agresif di hadapan penyokong sendiri.
Kelantan WTS terlebih dahulu mengejutkan pendahulu liga menerusi jaringan Nazrin Nawi sebelum Dandy Arbdallah menggandakan kelebihan untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.
Ketinggalan dua gol nyata tidak mematahkan semangat anak-anak buah Josep Ferré yang kembali lebih tersusun sebaik aksi bersambung di babak kedua.
Usaha pelawat membuahkan hasil pada minit ke-51 apabila Danish Hakimi berjaya merapatkan jurang sekali gus meniup semula harapan JDT II untuk bangkit.
Momentum permainan selepas itu jelas memihak kepada skuad pelawat yang terus menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan yang amat penting dalam perebutan kejuaraan.
Akhirnya, Danish Zahir muncul wira apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-76 sekali gus memastikan JDT II pulang dengan satu mata berharga.
Keputusan tersebut menyaksikan JDT II mengesahkan status selaku juara Liga A1 Semi-Pro musim ini dengan kutipan 62 mata.
Skuad Harimau Selatan itu kini berada empat mata di hadapan pencabar terdekat, Selangor FC II yang menghuni tangga kedua liga. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST