TORONTO – Croatia terus menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Panama dalam aksi kedua Kumpulan L Piala Dunia 2026 di Stadium BMO Field awal pagi tadi.
Keputusan itu hadir selepas perlawanan antara England dan Ghana berakhir tanpa jaringan, sekali gus membuka ruang buat Croatia untuk kembali bersaing merebut tiket ke pusingan seterusnya.
Croatia yang turun dengan misi wajib menang menampilkan kapten berpengalaman, Luka Modric yang membuat penampilan antarabangsa ke-200 bersama skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, Panama tidak mudah menyerah apabila memberi tentangan sengit sepanjang babak pertama meskipun berdepan lawan yang memiliki ranking lebih tinggi.
Peluang terbaik Panama hadir pada minit ke-23 menerusi Jose Luis Rodriguez, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic sebelum bola terkena palang.
Croatia turut hampir membuka tirai jaringan menjelang tamat separuh masa pertama, tetapi rembatan Martin Baturina berjaya dinafikan penjaga gol Panama, Orlando Mosquera.
Kedua-dua pasukan kemudian memasuki bilik persalinan dengan keputusan terikat tanpa jaringan.
Menyedari pasukannya memerlukan lebih kreativiti di bahagian serangan, pengendali Croatia, Zlatko Dalic melakukan pertukaran dengan memasukkan Andrej Kramaric dan Ante Budimir sebaik babak kedua bermula.
Keputusan itu nyata berbaloi apabila Croatia berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-56.
Josip Stanisic melakukan hantaran lintang tepat ke dalam kotak penalti sebelum Budimir tenang menolak masuk bola menewaskan Mosquera untuk gol tunggal perlawanan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Panama meningkatkan asakan bagi memburu gol penyamaan.
Mereka hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi Amir Murillo, namun Livakovic sekali lagi muncul wira Croatia dengan dua aksi menyelamat cemerlang dalam tempoh singkat.
Panama terus memberi tekanan sehingga wisel penamat, namun benteng Croatia kekal ampuh untuk mempertahankan kelebihan yang dimiliki.
Kemenangan itu menyaksikan Croatia kini mengumpul tiga mata untuk berada di tangga ketiga Kumpulan L sekali gus mengekalkan harapan untuk layak ke pusingan kalah mati.
Sebaliknya, kekalahan kedua berturut-turut menyaksikan Panama tersingkir secara rasmi daripada saingan Piala Dunia 2026.
Aksi terakhir kumpulan pada 28 Jun ini bakal menjadi penentu apabila Croatia akan berdepan Ghana dalam perlawanan hidup mati, manakala England menentang Panama. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto- HNS