KUALA NERUS – Koperasi Homestay Teluk Ketapang dipilih sebagai lokasi penganjuran program Bakti Belia Madani anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Negeri Terengganu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Program selama tiga hari dua malam bermula 25 hingga 27 Jun itu menghimpunkan seramai 40 pemimpin belia dari seluruh Terengganu bagi mengikuti pelbagai aktiviti yang menekankan pembentukan sahsiah, kepimpinan dan semangat kemasyarakatan.
Bersempena ketibaan bulan Muharam, Koperasi Homestay Teluk Ketapang turut memperkenalkan pakej Muharram Islamic Tourism yang disasarkan kepada golongan belia.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian berteraskan modul KBS bagi melahirkan generasi belia yang berwawasan, berakhlak, berjiwa Islam, menyantuni institusi masjid, prihatin terhadap golongan asnaf serta peka terhadap kelestarian alam sekitar.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah bacaan Yasin dan doa selamat, Forum Perdana bertajuk Belia Madani Komuniti Sejahtera, aktiviti menarik pukat di pesisir pantai serta gotong-royong membersihkan kawasan pantai.

Peserta turut menyertai program walkabout bersama pegawai Amanita Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi mengedarkan risalah pencegahan jenayah di Pasar Teluk Ketapang.
Selain itu, mereka dibawa menyusuri perkampungan menerusi Ramboo Cruise, menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf, selain menyertai enam aktiviti silang budaya dan warisan Melayu di Pentas Budaya.
Pihak Koperasi Homestay Teluk Ketapang berharap program itu bukan sahaja memenuhi objektif modul KBS, malah mampu memperkenalkan pakej Islamic Tourism kepada lebih ramai pengunjung serta merancakkan sektor pelancongan komuniti di Terengganu. – DETIK MALAYSIA