FIFPRO kecam hukuman FIFA terhadap 7 pemain warisan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Kes tujuh pemain bola sepak yang memohon kelayakan untuk mewakili Malaysia terus hangat apabila badan kesatuan pemain dunia, FIFPRO, tampil mengecam tindakan FIFA yang mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap kesemua pemain tersebut, sambil menyifatkannya sebagai “terlalu melampau” dan tidak adil.

Dalam kenyataan keras yang dikeluarkan semalam, badan itu menegaskan keputusan FIFA Appeal Committee sendiri mendapati bahawa tujuh pemain terbabit tidak memalsukan sebarang dokumen, malah semua dokumen yang dihantar sah dan mengikut prosedur.

Menurut FIFPRO, situasi sama yang menimpa kesemua tujuh pemain jelas membuktikan bahawa jika wujud dokumen palsu sekali pun, ia bukan berpunca daripada tindakan individu pemain.

“Pemain-pemain ini adalah mangsa… sebarang kemungkinan dokumen dipalsukan tidak mungkin dilakukan individu,” tegas kenyataan itu.

FIFPRO juga mempersoalkan proses kelayakan yang dianggap tidak telus apabila pemain tiada akses untuk mendapatkan pengesahan sah kelayakan terus daripada FIFA, mengikut peraturan semasa.

Tujuh pemain terbabit telah melengkapkan semua prosedur rasmi, termasuk:

  • Mengemukakan dokumen peribadi;
  • Hadir ke pejabat kerajaan;
  • Mengangkat sumpah;
  • Memperoleh pasport Malaysia;
  • Menunggu kelulusan kelayakan daripada Football Association of Malaysia.

FIFPRO menegaskan kesemua langkah itu dibuat melalui agensi kerajaan atau FAM, bukannya atas urusan sendiri oleh pemain.

Kesan hukuman itu turut disifatkan amat berat kerana pemain kini berdepan:

  • Penggantungan daripada kelab;
  • Karier terhenti serta-merta;
  • Reputasi tercalar;
  • Masa depan bersama skuad kebangsaan tidak menentu.

“Semua ini berlaku tanpa sebarang kesalahan di pihak pemain,” jelas FIFPRO.

Katanya, badan itu menyatakan sokongan penuh kepada kesemua tujuh pemain dan yakin Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membatalkan hukuman yang dianggap sebagai satu ketidakadilan nyata. - DETIK MALAYSIA