GAZA CITY – Serangan darat dan udara Israel di Gaza City telah menyebabkan ramai penduduk Palestin terkejut dan trauma, dengan sejumlah besar korban dilaporkan sejak operasi dimulakan awal minggu ini, lapor AFP.
Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya, berkata beliau amat terkejut apabila dua mangsa yang dibawa ke wad adalah abang dan kakak iparnya sendiri.
“Segalanya mungkin berlaku sekarang, menerima orang tersayang sebagai syuhada atau cedera,” katanya.
Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 87 kematian akibat serangan ganas regim Israel pada Sabtu, termasuk 70 mangsa di Gaza City.
Serangan terhadap keluarga Dughmush di kawasan Al-Sabra mengakibatkan 11 kematian, menurut pasukan penyelamat di bawah pihak berkuasa Hamas.
Hospital Al-Shifa mengesahkan menerima 34 mayat dari Gaza City, manakala Hospital Baptist melaporkan 28 korban akibat pengeboman tersebut.
Tentera Israel tidak memberikan komen segera mengenai jumlah keseluruhan korban atau laporan mengenai keluarga pengarah hospital.
Israel menegaskan operasi di Gaza City diteruskan bagi merobohkan infrastruktur “pengganas” dan menumpaskan anggota Hamas.
Wartawan AFP menyaksikan ambulans tiba di hospital membawa lebih banyak mayat, termasuk seorang kanak-kanak.
Ratusan ribu penduduk Palestin dilaporkan melarikan diri dari bandar itu, namun ramai masih terperangkap tanpa sumber untuk berpindah.
Seorang penduduk, Mohammed Nassar, 38, berkata beliau tiada kekuatan atau wang untuk meninggalkan rumahnya bersama isteri dan tiga anak.
“Pendudukan mahu memaksa semua orang berpindah supaya Gaza City musnah dan menjadi seperti Beit Hanoun atau Rafah,” katanya.
PBB telah mengisytiharkan kelaparan di kawasan itu, manakala kerajaan asing mendesak Israel menghentikan operasi demi keselamatan orang awam.
Kos penghijrahan meningkat sehingga AS$1,500 (RM6,750) hingga AS$2,000 (RM9,000) untuk perjalanan sejauh 30 kilometer ke selatan, menurut mereka yang berjaya meninggalkan bandar itu.
Setakat ini, agensi pertahanan awam melaporkan 450,000 penduduk Gaza City telah berpindah, manakala tentera Israel meletakkan angka tersebut pada kira-kira 480,000 orang.
PBB menganggarkan hampir satu juta penduduk tinggal di Gaza City dan kawasan sekitarnya pada akhir Ogos lalu.
Tentera Israel menasihatkan penduduk berpindah ke kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi yang dijanjikan menerima bantuan dan rawatan perubatan, namun kawasan tersebut turut menjadi sasaran serangan berulang.
Raeda al-Amareen berkata, beliau tidak mampu berpindah kerana kekurangan wang.
“Kami tidak ada 10 shekel pun untuk membeli roti. Kami akan tinggal dan berharap ada penyelesaian,” katanya. - DETIK MALAYSIA