KUALA LUMPUR – Pasukan Pilihan Selangor terus gah mempertahankan kejuaraan apabila menewaskan Pilihan Singapura 2-1 dalam aksi penuh sengit Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025 di Stadium Merdeka, malam tadi.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Gergasi Merah merangkul trofi berprestij berkenaan buat kali keempat berturut-turut, selain menambah koleksi kejuaraan mereka kepada 12 kali sejak kejohanan itu mula diperkenalkan pada 2001.
Selangor terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-20 selepas hantaran Mohamad Faisal Abdul Halim berjaya disudahkan oleh penyerang muda, Harry Danish untuk menewaskan penjaga gol lawan, Hassan Sunny.
Namun, Singapura pantas bangkit apabila pemain import, Takumi Yokohata, meledak gol penyamaan pada minit ke-40 bagi mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Aksi dramatik berlarutan hingga ke penghujung perlawanan sebelum pemain gantian, Chrigor Moraes, memastikan kemenangan mutlak buat Selangor selepas menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.
Trofi berprestij itu sekali lagi kekal berada dalam genggaman skuad Gergasi Merah. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Selangor FC
