BRNO – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli memulakan saingan Grand Prix (GP) Czech Moto3 2026 dengan cukup cemerlang apabila muncul pelumba terpantas dalam kedua-dua sesi latihan bebas semalam, sekali gus memecahkan rekod pusingan litar Automotodrom Brno sebanyak dua kali.
Pelumba AEON Credit–MT Helmets–MSi itu mempamerkan prestasi luar biasa pada hari pertama saingan pusingan kesembilan musim ini apabila mencatat rekod baharu Moto3 sepanjang zaman dalam sesi Latihan Bebas 1 (FP1) dan sesi Practice (PR).
Hakim tidak menunggu lama untuk menunjukkan kemampuannya apabila mengungguli carta masa FP1 menerusi catatan 2 minit 04.938 saat.
Catatan tersebut mengatasi rekod pusingan Moto3 sebelum ini di Brno iaitu 2:05.019s yang dilakukan pelumba Itali, Guido Pini pada musim 2025, sekali gus menjadikan Hakim sebagai pelumba Moto3 terpantas pernah direkodkan di litar ikonik Republik Czech itu.
Prestasi tersebut juga menjadi tonik terbaik buat pelumba berusia 18 tahun itu yang hadir ke Brno dengan tekad bangkit selepas gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan terdahulu di Hungary.
Jika aksi pada sebelah pagi sudah cukup mengagumkan, Hakim tampil lebih garang dalam sesi PR pada sebelah petang.
Menerusi pusingan terakhirnya, pelumba kelahiran Terengganu itu mencatat masa 2:04.754s untuk memperbaharui rekod miliknya sendiri dengan peningkatan hampir dua persepuluh saat.
Catatan itu sekali lagi meletakkan Hakim di kedudukan pertama dan mengesahkan statusnya sebagai pelumba terpantas sepanjang hari pertama perlumbaan.
Keputusan tersebut turut membolehkan Hakim melayakkan diri secara automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2), sekali gus mengelak daripada perlu mengharungi saingan Q1 hari ini.
Prestasi dominan yang dipamerkan itu menyerlahkan keyakinan tinggi dalam kem AEON Credit–MT Helmets–MSi selepas pasukan berkenaan melakukan beberapa penambahbaikan terhadap jentera susulan kekecewaan di GP Hungary.
Sepanjang kedua-dua sesi, Hakim menunjukkan rentak perlumbaan yang konsisten, kelajuan tinggi ketika mengambil selekoh serta keupayaan menyesuaikan diri dengan baik di litar Brno yang terkenal sebagai antara trek paling teknikal dalam kalendar Moto3.
Dengan dua rekod baharu berjaya dilakar dalam tempoh sehari, Hakim kini dilihat sebagai antara calon utama untuk merebut petak utama menjelang sesi kelayakan.
Saingan Moto3 akan bersambung hari ini dengan sesi Latihan Bebas 2 (FP2) sebelum sesi kelayakan berlangsung pada sebelah petang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing